Monday, February 7, 2011

Teknik Menulis Rumusan (20 markah)

1. Seperti ringkasan

2. Jangan diubah, buang maklumat yang tidak perlu sahaja.

3. Jangan mengubah ayat aktif kepada ayat pasif dsb.

4. Gabung isi dengan kata hubung yang sesuai.

5. Jika subjek/predikatnya dalam ayat sama perlu dibuang salah satunya.

6. Jangan ulang isi/isi yang diulang jangan diambil

7. Walaupun arahan daripada petikan menyatakan tidak lebih daripada tiga perenggan –pelajar mesti menulis rumusan dalam tiga perenggan.1,2 perenggan tidak digalakkan.

8. Kenal pasti kata kunci dalam petikan rumusan.

9. IU –lima elemen.Jika pelajar dapat mengemukakan ¾ elemen –IU tepat.2/1 elemen –IU lemah.

10. Jangan salin bulat-bulat.

Rumusan STPM 2009

Ramai yang tidak menyedari atau tidak perduli bahawa mereka mengambil makanan yang diubahsuai genetiknya walaupun penghasilan makanan tersebut menjadi isu antarabangsa.Disebabkan makanan ini dikatakan mengancam kesihatan, sesetengah Negara mengetatkan penjualannya.( 31)

Isi sokongan

1. Makanan yang diubahsuaikan genetiknya ialah makanan yang diubahsuai sifat genetic mikroorganismanya melalui penggunaan teknologi pengubahsuaian genetic.

2. Mikroorganisma itu mungkin dicipta sebagai bioracun dan perisai tanaman supaya tanaman tesebut kebal penyakit serta tahan bencana alam. (34)

3. Teknologi pengubahsuaian genetic makanan memberikan manfaat kepada penduduk Negara tertentu yang sering mengalami kebuluran dan perubahan cuaca yang menjejaskan hasil tanaman.Hal ini membantu Negara tersebut menambah hasil tanaman dengan cepat.(31)

4. Tanaman yang diubahsuaikan genetiknya ini pula mendapat sambutan pengeluar yang bermatlamat untuk menghasilkan produk yang banyak dengan cepat dan murah.Hal ini menguntungkan pengeluar.(24)

5. Walau bagaimanapun ada pihak menolak makanan yang diubahsuaikan genetiknya kerana beberapa kajian mendapati bahawa makanan ini boleh mengakibatkan kesan sampingan dalam jangka panjang.(23)

6. Sungguhpun teknologi ini dan hasilnya menarik,namun belum ada kajian yang dibuat untuk meneliti kesan pengambilan makanan ini dalam jangka panjang.(21)

Kesimpulan

Dalam jangka pendek, teknologi ini dapat mempercepat pengeluaran makanan tanaman secara besar-besaran.Dalam keadaan dunia yang mengalami pemanasan global dan cuaca yang tidak menentu, teknologi ini penting.(27) Keseluruhan:191 patah perkataan.

Fahami petikan di bawah ini, dan kemudian rumuskan petikan ini dengan padat dan ringkas tanpa mengejaskan isi kandungannya. Rumusan hendaklah dibuat dengan menggunakan tidak lebih daripada tiga perenggan dan panjangnya antara 190 hingga 200 patah perkataan. Jumlah perkataan dalam jawapan hendaklah ditulis pada akhir jawapan.

Dalam menjalani kehidupan harian,mungkin banyak orang yang tidak menyedari bahawa mereka tidak terlepas daripada mengambil makanan yang diubahsuaikan genetiknya.Banyak juga orang yang tidak peduli sama ada mereka mengambil makanan jenis ini atau tidak walaupun penghasilannya telah sekian lama menjadi isu hangat pada peringkat antarabangsa. Hal ini demikian kerana makanan ini yang disebut juga transgenik dikatakan mengancam kesihatan manusia. Di sesetengah negara, penjualan makanan ini dikawal ketat oleh kerajaan.

Makanan yang diubahsuaikan genetiknya ialah makanan yang telah mengalami proses pengubahsuaian sifat genetic mikroorganismanya melalui penggunaan teknologi pengubahsuaian genetik.Misalnya, jika makanan yang diubahsuaikan genetiknya itu berasal daripada sejenis tanaman, maka ke dalam tanaman itu akan dimasukkan mikroorganismanya sendiri yang telah diubahsuaikan atau mikroorganisma daripada jenis atau spesies tanaman lain.Mikroorganisma yang dimasukkan ke dalam tanaman ini mungkin diciptakan untuk digunakan sebagai bioracun makhluk perosak dan perisai tanaman supaya tanaman tersebut kebal penyakit. Selain itu, melalui kaedah pengubahsuaian ini sifat tanaman yang tahan bencana alam seperti kemarau dapat dibentuk.

Teknologi pengubahsuaian genetik makanan yang menghasilkan tanaman yang kebal penyakit dan tahan perubahan persekitaran ini memberikan manfaat kepada penduduk di negara tertentu, khususnya negara sedang membangun, yang sering menghadapi masalah kebuluran dan perubahan cuaca yang mempengaruhi hasil tanaman.Hal ini demikian kerana teknologi ini dapat membantu manusia menghasilkan makanan yang berasaskan tanaman dengan kuantiti yang banyak dalam masa yang singkat. Keadaan ini tentulah dapat membantu Negara tertentu mengatasi masalah kekurangan makanan dan kebuluran.Tanaman yang diubahsuaikan genetiknya ini pula mendapat sambutan pengeluar, khususnya syarikat multinasional yang berasaskan pertanian.Syarikat sebegini mempunyai matlamat untuk menghasilkan produk yang banyak dalam masa yang singkat.Faktor kos penghasilan makanan yang rendah juga dapat memberikan keuntungan kepada pengeluar.

Namun begitu, makanan yang diubahsuaikan genetiknya ini tidak diterima sepenuhnya di seluruh dunia.Ada juga pihak tertentu, terutamanya pejuang keselamatan makanan, yang menentang penghasilan makanan jenis ini. Apakah faktor yang mendorong penolakan ini? Salah satu sebabnya ialah hasil beberapa kajian mendapati bahawa makanan ini mungkin boleh mengakibatkan kesan sampingan, terutamanya dalam jangka panjang.Umpamanya, tanaman yang diubahsuaikan genetiknya untuk mengeluarkan racun makhluk perosaknya turut meracuni manusia.Penggunaan teknologi pengubahsuaian genetik dan hasilnya, iaitu makanan yang diubahsuaikan genetiknya, amat menarik, namun belum ada kajian yang dibuat untuk meneliti kesan pengambilan makanan ini dalam jangka panjang.Hanya kajian jangka pendek yang dijalankan untuk meneliti kesan yang dimaksudkan. Oleh sebab itu, kesan jangka panjang penggunaan makanan transgenik ini belum dapat dibuktikan.

Dalam jangka pendek, teknologi ini dapat mempercepat pengeluaran makanan tanaman secara besar-besaran. Tambahan pula, dengan iklim dunia yang tidak menentu dan berlakunya pemanasan global, teknologi ini ternyata sekali pentingnya.Dengan alas an itu, maka timbul persoalan sama ada makanan transgenik ini sesuai atau tidak untuk dijadikan makanan alternatif pada masa ini atau masa depan.

No comments:

Post a Comment